SAMBUNGAN bluetooth biasanya hanya sejauh 10 meter sahaja. Melangkaui jarak ini, sambungan aksesori audio akan mula terputus-putus.

Tetapi Hubble Network, sebuah syarikat pemula dari Amerika Syarikat berjaya melakukan sambungan bluetooth dari bumi ke satelit di angkasa lepas.

Hubble Network melancarkan dua satelit kendiri pada bulan Mac lalu. Pada penghujung April pula mereka berjaya melakukan sambungan bluetooth dengan satelit dari jarak 600 kilometer.

Kejayaan ini membuka pintu kepada sistem penjejakan objek yang lebih murah dan berkuasa lebih rendah berbanding sistem yang digunakan sekarang.

Menurut Hubble Network, perkakasan bluetooth sedia ada boleh digunakan dan hanya memerlukan kemas kini menggunakan perisian yang dibangunkan oleh mereka.

Antara yang boleh dilakukan menerusi sistem bluetooth jarak jauh ialah sistem pemantauan kebakaran hutan, menjejak lokasi anak dan juga sektor pertanian. - Amanz